CelcomDigi hulur bantuan kepada mangsa banjir

CelcomDigi hulur bantuan kepada mangsa banjir

KUCHING,. Musim tengkujuh yang semakin membimbangkan di Malaysia memaksa lebih ramai keluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sedar akan peningkatan terhadap keperluan bantuan bagi mereka yang terjejas dalam bencana ini, CelcomDigi menghulurkan bantuan melalui beberapa cara untuk memastikan mangsa mempunyai akses terhadap bekalan asas dan sambungan Internet.

Bantuan yang disalurkan meliputi bekalan keperluan asas bernilai RM1.5 juta dan sambungan WiFi di PPS, dapat membantu sehingga 3,000 keluarga yang terjejas.

Keperluan asas seperti bantal, selimut, kit pertolongan cemas dan barangan kebersihan diri telah dihantar ke Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk diagihkan ke PPS di seluruh negara.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi Joachim Rajaram berkata: “Kami telah mempersiapkan kemudahan, tenaga kerja dan rangkaian kami untuk membantu lebih ramai rakyat di seluruh negara – baik pelanggan, peniaga mahupun rakan kongsi, mengharungi situasi getir ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi bantuan banjir dalam menyelaraskan usaha-usaha untuk membantu seramai mungkin yang terkesan akibat banjir.”

Sejak awal suku keempat tahun ini, beberapa inisiatif telah dijalankan termasuk kesiapsiagaan dan bantuan di kawasan-kawasan berisiko dengan harapan untuk mengurangkan impak banjir terhadap masyarakat.

Kit Pengurusan Bencana Banjir yang dikemas kini telah dikongsikan kepada orang ramai, terutama yang berada di kawasan berisiko banjir, untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya sebelum, semasa dan selepas banjir.

Selain itu, PPS di negeri-negeri yang terjejas telahpun dilengkapi WiFi supaya mangsa kekal terhubung. Lebih banyak PPS akan turut dilengkapi dengan kemudahan tersebut dalam masa terdekat.

Penyediaan bot untuk operasi memindahkan mangsa-mangsa di kawasan banjir yang teruk juga dijalankan dengan kerjasama Malaysian Relief Agency.

Mengambil kira akan kepentingan keperluan liputan rangkaian dalam keadaan getir ini, beberapa usaha seperti mengukuhkan tapak rangkaian di kawasan berisiko tinggi, mendapatkan penjana kuasa dan stesen pemancar mudah alih telah disediakan untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan.

Pasukan operasi CelcomDigi bersedia 24 jam untuk turun ke kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan.

CATEGORIES
TAGS
Share This