
CEO Apple harap pekerja dapat kembali ke pejabat tahun depan
MOSCOW, 22 Sept — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Tim Cook berharap pekerja syarikat itu dapat kembali ke pejabat tahun hadapan, menambah pada masa sama 85-90 peratus pekerjanya bekerja dari luar atau rumah disebabkan pandemik COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.
Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu menukar operasinya bekerja dari luar disebabkan penularan COVID-19 pada Mac.
“Saya fikir sebahagian besar daripada kita tidak sabar untuk kembali bekerja di pejabat. Mungkin, ia kembali pulih tahun depan. Siapa tahu, bilakah waktu yang sesuai,” kata Cook pada Isnin dalam satu majlis yang dihoskan oleh majalah The Atlantic.
Menurut beliau, kira-kira 10-15 peratus daripada semua pekerja, termasuk dirinya, telahpun bekerja dari pejabat.
“Tetapi sebahagian besar, 85-90 peratus petugas masih lagi bekerja dari luar,” kata Cook.
Di samping itu, CEO itu berkata Apple mungkin mengekalkan format dalam talian selepas pandemik COVID-19, kerana ternyata “beberapa perkara … berfungsi dengan baik secara maya.”
— BERNAMA