China cadang kerjasama dengan Malaysia dalam sektor halal, teknologi

KUALA LUMPUR,. China mengemukakan cadangan untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pertukaran teknologi serta perkhidmatan dan produk halal dengan Malaysia semasa perbincangan berkaitan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula niaga.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata perbincangan dua hala itu telah diadakan semasa Mesyuarat Menteri PKS (SMEMM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-25 yang berlangsung di Concepción, Chile.

“Sebagai permulaan, Malaysia akan mempertimbangkan penyertaan dalam Forum Perniagaan APEC yang dijadual diadakan di Shenzhen, China dari 17 hingga 19 Dis, 2019,” menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini.

Mohd Redzuan, mengetuai delegasi Malaysia ke SMEMM APEC selama dua hari yang berakhir semalam, turut mengadakan beberapa perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dan pegawai kanan dari Chile, Peru dan Amerika Syarikat mengenai kerjasama berpotensi dalam sektor PKS dan pemula niaga.

Sebelum berlangsungnya SMEMM APEC, para pegawai juga bertemu bagi mesyuarat Kumpulan Kerja PKS (SMEWG) ke-49, dengan Malaysia membentangkan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN), yang dilancarkan pada 11 Julai, 2019.

DKN, yang merupakan dokumen dasar nasional pertama mengenai keusahawanan, telah diterima dengan baik oleh anggota APEC malah sesetengah negara menyatakan minat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia berhubung pembentukan dasar.

Menteri PKS APEC mengenal pasti peranan utama PKS sebagai sumber keperluan bagi pertumbuhan dan dinamisme ekonomi, sejajar dengan kepentingan transformasi digital, pembiayaan dan globalisasi.

Bidang keutamaan ini mempunyai korelasi langsung dengan Pelan Strategik SMEWG APEC 2017-2020 yang menumpukan keusahawanan; inovasi; ekonomi digital dan Internet; pembiayaan untuk pengembangan perniagaan dan pembangunan keupayaan; ekosistem perniagaan inklusif yang menyokong pertumbuhan PKS; serta akses pasaran untuk PKS.

Para menteri PKS APEC juga akan terus menyokong kerjasama bersepadu menangani isu etika dalam menggalakkan ketelusan dan integriti kerana ia penting dalam proses pengantarabangsaan PKS.

Semasa mesyuarat itu, Mohd Redzuan berkongsi pengalaman Malaysia berkaitan pendigitalan untuk PKS dan usahawan, mengetengahkan peranan inovasi dan teknologi serta syarikat pemula niaga yang mencatatkan permulaan tinggi dalam memajukan peningkatan ekosistem PKS di Malaysia.

Beliau menekankan kesemua itu adalah pemboleh bersepadu yang dapat meningkatkan kecekapan serta produktiviti PKS dan seterusnya mengembangkan capaian pasaran mereka.

Beliau berkata Malaysia akan terus menumpukan usaha mewujudkan pertumbuhan tinggi dan perniagaan inovatif menerusi bantuan yang disasarkan dalam automasi, pendigitalan dan robotik, malah pada masa sama meningkatkan sokongan kepada perusahaan mikro dan syarikat pemula niaga.

Mohd Redzuan turut menekankan pentingnya keselamatan siber untuk melindungi PKS dalam dunia yang saling terhubung di samping meneruskan agenda pendigitalan selain menyeru supaya perbincangan sedemikian ditingkatkan dalam aktiviti PKS APEC akan datang.

Beliau berkata pengantarabangsaan melangkaui eksport dan import, dan selanjutnya mencadangkan konsep pengantarabangsaan merangkumi aktiviti seperti pelesenan, francais, perjanjian subkontrak, menyediakan peluang bagi pelaburan langsung asing, usaha sama dan pertukaran teknologi.

MED, yang akan menganjurkan SMEMM APEC 2020, mahu bekerjasama rapat dengan Sekretariat APEC untuk mendukung matlamat perkumpulan itu dan agenda pembangunan PKS dalam kalangan ekonomi APEC.

Bagi APEC 2020 di Malaysia, MED berjaya membida untuk membiayai tiga projek APEC, iaitu bengkel dua hari untuk Usahawan Muda APEC yang dijadualkan pada Februari 2020; Dialog Dasar APEC mengenai PKS dan Keusahawanan pada Mei 2020; serta Forum Pelaburan Syarikat Pemula Niaga APEC pada September 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )