Christmas Dreamville 2.0 promosi pelbagai budaya, pupuk pembangunan komuniti, tingkat pelancongan

Christmas Dreamville 2.0 promosi pelbagai budaya, pupuk pembangunan komuniti, tingkat pelancongan

KUCHING: Christmas Dreamville 2.0, acara Krismas terbesar di bandar raya ini yang kembali dari 13 hingga 25 Disember bukan sahaja menjanjikan kemeriahan tetapi juga membawa misi penting untuk mempromosikan kepelbagaian budaya, memupuk pembangunan komuniti dan meningkatkan pelancongan di Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata dengan sokongan kepada bakat tempatan, acara ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif, di samping meningkatkan daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan utama.

Di samping itu katanya, inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan dan penglibatan komuniti, sejajar dengan semangat memberi yang menjadi teras sambutan Krismas.

“Melalui jangkaun komuniti dan usaha kebajikan, kita komited untuk meningkatkan kehidupan golongan memerlukan serta membentuk masyarakat yang prihatin dan inklusif,” kata beliau pada sidang media mengenai program tersebut di The Hills di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Christmas Dreamville 2.0 mengetengahkan pelbagai persembahan seni, bengkel interaktif dan aktiviti kebudayaan yang menyerlahkan keunikan warisan Sarawak.

Menurutnya, antara sorotan utama acara ini adalah bazar Krismas yang menampilkan pelbagai kraf unik, hadiah bertemakan Krismas dan juadah lazat.

Selain itu katanya, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan hebat oleh artis tempatan, kumpulan koir dan penari budaya yang meraikan tradisi Krismas serta kepelbagaian budaya Sarawak.

“Christmas Dreamville 2.0 menawarkan pelbagai bengkel mesra keluarga seperti membuat ‘gingerbread’, mencipta perhiasan Krismas dan aktiviti seni bertemakan perayaan untuk kanak-kanak.

“Aktiviti-aktiviti ini direka untuk mengeratkan hubungan keluarga sambil membolehkan kanak-kanak meneroka kreativiti mereka dalam suasana perayaan yang ceria dan menyeronokkan,” katanya.

Tambah Snowdan, pengunjung juga boleh menghayati keindahan paparan lampu yang memukau dan pokok Krismas dihias indah, menjadikan lokasi ini tempat terbaik untuk merakam kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Untuk rekod, Christmas Dreamville 2.0 yang diadakan dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari bermula 13 hingga 25 Disember itu turut menyelitkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sebagai sebahagian daripada acara, menawarkan pilihan membeli-belah mampu milik kepada keluarga dalam semangat Krismas.

-Agensi

CATEGORIES
Share This