Coutinho serasi bersama Bayern
BERLIN,. Philippe Coutinho berkata dia sudah rasa seperti sebahagian ‘keluarga’ selepas membentuk persefahaman mantap dengan Robert Lewandowski di Bayern Munich.
Juara bertahan Jerman itu bermain tiga perlawanan dalam lapan hari, bermula dengan saingan Bundesliga berdepan pasukan bawahan Paderborn esok sebelum berkunjung ke Spurs untuk saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu nanti dan kemudian menanti kehadiran Hoffenheim dalam liga.
Selepas gagal menggantikan tempat Andre Iniesta di Barcelona, Coutinho meningkatkan kembali kariernya apabila dipinjamkan musim ini, mencipta gol pertama bersama Munich hasil penalti Sabtu lalu ketika menang 4-0 mengatasi Cologne.
Pemain Brazil itu semakin bagus dan berasa seperti “di rumah sendiri”.
“Saya rasa itu ialah satu daripada keutamaan kelab: ia seperti sebuah keluarga,” katanya kepada Bundesliga.com.
Coutinho berkata semangat tinggi skuad itu ditonjolkan apabila Lewandowski, yang boleh melakukan hatrik, memberikan tugas mengambil penalti kepadanya berdepan Cologne.
“Ia perwatakan yang hebat. Lewy ada peluang untuk mencatat hatrik, tapi dia beri peluang kepada saya untuk menjaringkan gol pertama dan saya amat bersyukur,” kata Coutinho.
Jurulatih Bayern, Niko Kovac berkata persefahaman pasangan itu semakin meningkat “dari satu perlawanan ke satu perlawanan” selain memuji Lewandowski yang memberikan peluang daripada penalti itu. – AFP