COVID-19: 225 rakyat Malaysia terkandas di selatan Thailand dibenarkan pulang

SONGKHLA,. Seramai 225 rakyat Malaysia yang terkandas di Yala, Selatan Thailand sejak negara itu menutup pintu sempadannya, telah dibenarkan pulang ke tanah air, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Beliau berkata sehingga hari ini 139 rakyat Malaysia telah kembali ke tanah air – 88 orang melalui pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam, 48 melalui Sungai Golok-Rantau Panjang dan tiga lagi melalui Wang Prachan-Wang Kelian.

“Pihak konsulat terus memantau agar yang selebihnya akan dibawa keluar (dari Thailand) dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kumpulan yang kembali ke Malaysia akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai, Perak.

Muhammad Ridzuan turut melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan yang membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia.

Dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, bermula 23 Mac Thailand menutup semua sembilan pintu sempadannya dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Di samping penutupan sembilan pintu sempadan melalui darat atau air Thailand-Malaysia, penutupan sempadan turut dilaksanakan di semua pintu sempadan Thailand dengan negara jiran lain yang terdiri daripada Laos, Kemboja dan Myanmar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )