COVID-19: 24 kes baharu, 18 kes penularan tempatan dan enam kes import – KP Kesihatan

COVID-19: 24 kes baharu, 18 kes penularan tempatan dan enam kes import – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Sebanyak 24 kes baharu dicatatkan hari ini melibatkan 18 kes penularan tempatan dan enam kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu tertinggi dilaporkan dari Kluster Sungai, Kedah melibatkan 13 kes manakala dua kes dari Kluster Benteng, Sabah. “Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 melibatkan warganegara dan dua adalah bukan warganegara,” katanya.

Kedah mencatatkan 16 kes baharu dengan 13 kes daripada Kluster Sungai; satu kes daripada Kluster Tawar; satu kes daripada Kluster Telaga; dan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah manakala Sabah merekodkan dua kes daripada Kluster Benteng.

Enam kes merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara. Katanya, enam kes import tersebut adalah dari Bangladesh (dua kes: satu kes di Negeri Sembilan, satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); China (satu kes di Sabah); Indonesia (satu kes di Sabah); Singapura (satu kes di Sarawak); dan Korea Selatan (satu kes di Selangor).

“Kes import melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuat kuasa pada 7 Sept. “Dua kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 Sept dan telah disaring pada hari yang sama manakala satu kes dari China tiba di Malaysia pada 5 Sept dan disaring pada 6 Sept,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan ujian saringan individu terlibat dilaporkan positif COVID-19 hari ini serta beberapa kes import dilaporkan semalam. Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tujuh kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan serta tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal 128 kes.

Menurut Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini, terdapat pertambahan kes bagi empat kluster iaitu Kluster Sungai, Kluster Telaga, Kluster Tawar dan Kluster Benteng LD hari ini. Kluster Sungai di Kedah mencatatkan sebanyak 13 kes baharu manakala di Perlis satu kes dikesan positif COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Telaga dan Kluster Tawar di Kedah, masing-masing terdapat satu kes baharu. Bagi Kluster Benteng LD pula, sebanyak dua kes baharu dikesan di Tawau.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hasil siasatan mendapati kes positif dalam kalangan petugas kesihatan KKM kebanyakan berpunca daripada penularan dalam kalangan petugas itu sendiri.

Katanya, ini menyumbang kepada 53 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan petugas kesihatan, jangkitan daripada komuniti (22 peratus), manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status COVID-19 sebanyak 17 peratus.

“Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti COVID-19 semasa pengurusan pesakit disahkan COVID-19 di wad COVID-19 atau di ICU,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This