COVID-19: 2,690 kes baharu, 10 kematian dicatat pada Ahad

COVID-19: 2,690 kes baharu, 10 kematian dicatat pada Ahad

KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,690 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menurun daripada 2,717 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan setakat ini 392,942 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) dalam hantaran di laman Twitter rasminya memaklumkan daripada jumlah 2,690 itu 10 merupakan kes import melibatkan lapan bukan warganegara dan dua warganegara.

”Dalam pada itu seramai 283 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 121 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan dengan 10 kematian turut dilaporkan pada hari ini melibatkan warganegara menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,436 kes,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,853 kes sembuh dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini 367,753 kes.

Selangor masih mencatat kes baharu tertinggi dengan 751 kes, diikuti Sarawak (595), Kelantan (424), Kuala Lumpur (217) dan Johor (159).

Sebanyak 121 kes direkodkan di Sabah, diikuti Pulau Pinang (117), Kedah (76), Perak (64), Negeri Sembilan (57), Melaka (42), Pahang (33), Terengganu (25), Putrajaya (lima), Labuan (tiga) dan Perlis (satu).

Sementara itu menerusi kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata lapan kluster baharu dikenal pasti melibatkan masing-masing tiga kluster tempat kerja dan sektor pendidikan dan masing-masing satu kluster pusat tahanan dan komuniti.

Kluster tempat kerja masing-masing satu dilaporkan di Sarawak (Kluster Putai); Sabah (Ladang Paris Dua) dan Melaka (Jalan Melaka Raya) manakala kluster pendidikan dilapor di Kelantan (Halban Dua) serta dua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan di Selangor iaitu Kluster Jalan Bukit Naga dan Jalan Kuala Garing.

Dua lagi kluster baharu ialah Pagar Sri Lalang di Johor melibatkan pusat tahanan dan kluster komuniti yang dilapor di Sarawak iaitu Kluster Rayang.

Beliau berkata selain kluster baharu, sebanyak 66 kluster mencatat peningkatan kes dengan pertambahan kes baharu paling tinggi hari ini adalah Kluster Putai (199 kes) manakala Kluster Tapak Bina Persiaran Cybersouth mencatat pertambahan 48 kes, dan Kluster Jalan Hospital (36 kes).

Dr Noor Hisham berkata sembilan kluster tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,240 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 351.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )