COVID-19: Banyak kapal persiaran tidak dibenar berlabuh di Australia
SYDNEY, 2 April — Pihak berkuasa Australia pada Khamis terus berdepan masalah dengan beberapa kapal persiaran di perairan negara itu, berikutan kebimbangan wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.
Lebih 12 kapal persiaran masih berlegar-legar di perairan tiga negeri di Australia, meskipun sudah diarahkan oleh Pengawal Sempadan Australia (ABF) supaya keluar dari wilayah laut Australia.
Penumpang dan anak kapal yang dikhuatiri dijangkiti penyakit itu, menyebabkan kapal persiaran berkenaan menangguhkan perjalanan keluar dari perairan Australia kerana memerlukan lebih masa memastikan keselamatan semua yang berada di atas kapal.
Setakat ini, semua warga Australia dan mereka yang memerlukan bantuan perubatan sudah dipindahkan. Kebuntuan itu disebabkan kebimbangan penumpang kapal persiaran berkenaan akan mencetuskan wabak.
Bulan lalu, kapal persiaran Ruby Princess dibenarkan berlabuh di Sydney menyaksikan lebih 100 penumpang dijangkiti, bergaul dengan komuniti. Lebih 300 kes di New South Wales dikesan selepas itu, dikaitkan dengan penumpang kapal berkenaan, dan keputusan membenarkan penumpang untuk turun, mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Sementara itu, sebuah kapal kekal berlabuh di negeri Australia Barat, meskipun diarahkan pegawai kerajaan supaya segera keluar dari pelabuhan. Seramai 40 orang sudah dibawa keluar dari kapal Artania itu selepas diuji positif COVID-19 dan dihantar ke hospital berhampiran.
Bagaimanapun, kru memohon supaya mereka diberi lebih masa untuk berlabuh kerana mengesyaki ada lagi kes dikesan di atas kapal itu.
— BERNAMA