COVID-19: Canselor Jerman Angela Merkel dikhuatiri dijangkiti, jalani kuarantin
BERLIN,. Canselor Jerman Angela Merkel menjalani kuarantin selepas dimaklumkan doktor yang memberinya vaksin pneumokokus diuji positif jangkitan COVID-19.
Merkel, 65, dimaklumkan tentang perkara itu sejurus menghadiri sidang media bagi mengumumkan langkah terbaharu membendung penularan jangkitan virus tersebut pada Ahad.
Dalam sidang media yang dipancarkan secara langsung di televisyen, Merkel turut mengumumkan larangan perhimpunan awam melebihi dua orang.
Tambahnya, sikap warga Jerman itu sendiri adalah langkah terbaik untuk membendung jangkitan daripada terus merebak.
Setakat ini, antara langkah yang dilaksanakan di negara itu termasuk menutup salon rambut dan kecantikan, pusat urut dan kedai yang menjual barangan yang bukan kritikal.
Merkel akan menjalani beberapa ujian dan meneruskan tugasnya dari rumah buat sementara waktu.