COVID-19 catat 82 kes baharu, Sabah kekal kes tertinggi

COVID-19 catat 82 kes baharu, Sabah kekal kes tertinggi

PUTRAJAYA, 22 Sept — Jumlah kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas di negara ini masih pada dua angka, iaitu 82 kes dengan Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 60 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu berkenaan yang merangkumi 72 jangkitan tempatan dan 10 kes import menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 10,358.

Bagi penularan tempatan, beliau berkata jangkitan melibatkan 60 rakyat tempatan dan 12 warga asing.

“Kes di Sabah membabitkan 41 kes daripada Kluster Benteng LD (Lahad Datu), selain masing-masing enam kes bagi Kluster Pulau dan Kluster Selamat; lima daripada Kluster Bangau-Bangau (kluster baharu) serta masing-masing satu kes saringan komuniti dan kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Beliau berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pada masa ini ialah sebanyak 665 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This