COVID-19 dikesan di Korea Utara.. Apa yang kita tahu setakat ini

COVID-19 dikesan di Korea Utara.. Apa yang kita tahu setakat ini

PYONGYANG: Khamis lalu, Korea Utara mengesahkan kes pertama COVID-19 di negara itu, dan disusuli dengan pengisytiharan ‘darurat serius’ oleh pemimpin tertingginya, Kim Jong-un.
Sebelum ini, negara itu tidak pernah mengakui terdapat sebarang kes COVID-19 sejak permulaan pandemik pada 2020.
CNN yang memetik agensi berita Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan pada Jumaat lalu, sebanyak 15 kematian dengan 296,180 kes deman dipercayai COVID-19 dilaporkan di negara itu.

Perkara itu mencetus kebimbangan pelbagai pihak kerana Korea Utara merupakan sebuah negara yang mempunyai sistem kesihatan yang paling rapuh di dunia dengan sebahagian besar penduduknya tidak diberi suntikan vaksin.

Sejak permulaan pandemik, Korea Utara melaksanakan sekatan sempadan yang ketat di semua pintu sempadannya.

Ini 10 perkara yang kita tahu setakat ini:

1.Pihak berkuasa Korea Utara tidak membuat sebarang pengumunan punca penularan virus itu.

2. Korea Utara pernah menolak jemputan untuk menghantar pasukannya untuk bertanding pada Olimpik Tokyo dan Beijing dengan alasan khuatir akan ancaman COVID-19.

3. Laporan KCNA hanya memaklumkan kes COVID-19 yang pertama dikesan pada Khamis lalu, namun tidak dijelaskan secara tepat mengenai jumlah dan punca.

4. Beberapa sampel yang diambil daripada pesakit yang demam di Pyongyang dilaporkan menyamai dengan varian Omicron BA.2.Menjelang Jumaat, kes demam meningkat kepada 18,000 dengan enam kematian termasuk salah seorang daripadanya diuji positif sub-varian BA.2 Omicron.

5. Penularan COVID-19 di negara itu disifatkan sebagai malapetaka dengan keengganan kerajaan untuk bersikap telus dan mendedahkan maklumat mengenainya.

6. Jong-un dan pegawai-pegawai tertingginya mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan mengenai perkembangan terbaharu itu dan mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan ‘sistem pencegahan wabak kecemasan maksimum’.

7. Mesyuarat itu diadakan adalah untuk mengawal jangkitan dan menghapuskan punca penyebaran virus

8. Semua bandar dan daerah di seluruh negara dikuatkuasakan perintah berkurung.

9. Korea Utara merupakan sebuah negara yang mempunyai bekalan perubatan yang sangat asas sehingga pasukan perubatan hanya mampu memberi tumpuan kepada usaha pencegahan.

10. Tiada bukti menunjukkan bahawa Korea Utara mempunyai akses kepada vaksin yang mencukupi untuk melindungi penduduknya daripada COVID-19, namun mereka pernah menolak berjuta-juta dos vaksin AstraZeneca dan Sinovac yang ditawarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi program perkongsian vaksin COVID-19 terbesar di dunia, Covax.

-Agensi

CATEGORIES
Share This