COVID-19 : DOSM kumpul statistik sektor informal, ekonomi terjejas
PUTRAJAYA,. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diminta untuk mengumpulkan maklumat dan statistik berkaitan sektor informal negara serta sektor ekonomi yang terjejas terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu kerajaan menangani isu dan cabaran pasca pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jabatan itu akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha pengumpulan maklumat berkaitan sektor informal berkenaan di 159 daerah.
Sambil menyifatkan peranan dan keperluan statistik sebagai amat penting dalam membantu kerajaan, beliau berkata jabatan itu telah diminta untuk meneliti aspek sektor informal dalam negara yang melibatkan kira-kira dua juta individu yang bekerja sendiri dengan kebanyakannya bergantung kepada gaji harian serta tidak membabitkan dokumentasi sewajarnya.
“Sektor informal ini mudah dibuka serta ditutup dan tidak memerlukan modal besar atau bercorak perniagaan keluarga.
“Kami juga telah diminta untuk melihat sektor ekonomi yang terjejas terutamanya PKS serta melihat sejauh mana adaptasi (pelaksanaan) teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dianugerahkan Tokoh Hari Pekerja 2020 oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersempena sambutan Hari Pekerja di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Uzir turut meminta orang ramai menyertai Hari Banci yang diadakan setiap 10 tahun, bermula pada 7 Julai depan yang mana hasil dapatannya amat penting kepada perancangan penyusunan struktur ekonomi negara.
Menurutnya, perkhidmatan statistik bukan setakat memanfaatkan perancangan sektor awam tetapi juga sektor perniagaan yang memerlukan maklumat bagi membuat komitmen perniagaan dan membuat keputusan tepat bagi menghasilkan kesan terbaik.
Sementara itu, Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata pemilihan Mohd Uzir sebagai Tokoh Hari Pekerja 2020 itu adalah sebagai menghargai pencapaian dan kejayaan beliau sepanjang menerajui serta berkhidmat di DOSM.
Mohd Uzir memulakan kerjayanya di jabatan itu 1991 dan antara kejayaan beliau adalah merakyatkan data statistik agar dapat difahami semua secara lebih mudah manakala DOSM turut diberi penghormatan menerusi sambutan Hari Statistik Negara setiap 20 Oktober bermula pada 2017.
DOSM juga memberi sumbangan menerusi penyaluran data statistik untuk dimanfaatkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam membuat sebarang dasar dan polisi berkaitan selain menganjurkan Persidangan Statistik Antarabangsa 2019.
Selain itu, jabatan tersebut turut membantu CUEPACS dalam usaha berkongsi data statistik yang membabitkan kepentingan rakyat serta penjawat awam.
— BERNAMA