COVID-19 : Dua lagi kes positif di Singapura jadikan jumlah kes 112

SINGAPURA,. Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan dua lagi kes jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan positif kepada 112 di republik itu.

Dalam satu kenyataan di sini, MOH berkata kes melibatkan seorang lelaki berusia 43 tahun, pemastautin tetap Singapura yang tidak mempunyai sejarah perjalanan terkini ke negara atau wilayah yang terjejas dengan virus itu.

Lelaki itu kini diasingkan dalam sebuah bilik di Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas keputusan ujian berikutnya mengesahkan dia positif COVID-19 pada 3 Mac, kata kenyataan itu.

Sebelum dimasukkan ke hospital, MOH berkata dia selalu berada di rumahnya di Jalan Compassvale.

Satu lagi kes melibatkan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun, rakyat Singapura yang juga tidak mempunyai sejarah perjalanan terbaharu ke negara dan wilayah yang terjejas.

Wanita itu bekerja di Creative O Preschoolers’ Bay, International Business Park sebagai staf bukan pengajar dan berkait dengan Kes 94, seorang wanita rakyat Singapura berusia 64 tahun yang disahkan menghidap COVID-19 pada 26 Feb.

Mengenai perkembangan terkini kes yang disahkan, MOH berkata satu lagi kes jangkitan COVID-19 didiscaj dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kes yang didiscaj kepada 79.

Kes ke-79 itu ialah seorang lelaki rakyat Singapura berumur 57 tahun yang tiada sejarah perjalanan terkini ke China dan mempunyai kaitan dengan kluster di Grace Assembly of God.

Daripada 33 kes disahkan yang masih berada di hospital, MOH berkata kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara tujuh lagi dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari ini, kementerian telah mengenal pasti 3,204 kontak rapat yang dikuarantin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )