COVID-19 India kini cecah 29 juta

COVID-19 India kini cecah 29 juta

NEW DELHI,. India setakat Isnin mencatatkan jumlah kes COVID-19 sebanyak 29,510,410 dengan 70,421 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, lapor Xinhua, memetik Kementerian Kesihatan Persekutuan.

Seramai 3,921 pesakit COVID-19 meninggal dunia sejak pagi Ahad, menjadikan jumlah kematian kepada 374,305 orang.

Ini adalah hari ketujuh berturut-turut kes yang didaftarkan di seluruh negara kurang daripada 100,000, selepas mencatatkan lebih 400,000 pada April-Mei ketika gelombang kedua pandemik melanda.

Masih ada 973,158 kes aktif, setelah penurunan 53,001 kes aktif sepanjang 24 jam lalu. Sebanyak 28,162,947 pesakit sembuh dengan 119,501 dibenarkan keluar hospital sejak pagi Ahad.

Sementara itu, bermula Isnin semua kedai dan restoran di New Delhi dibenarkan dibuka dengan kapasiti 50 peratus pengunjung, berikutan penurunan ketara kes jangkitan sejak beberapa minggu kelekangan ini.

Bagaimanapun sekolah, kolej, institusi pendidikan, kolam renang, gimnasium, dan lain-lain, masih ditutup.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This