COVID-19: Jackie Wong akhirnya dibenarkan keluar hospital

COVID-19: Jackie Wong akhirnya dibenarkan keluar hospital

KUALA LUMPUR,. Setelah lebih dua bulan berada di Hospital Sibu, Sarawak susulan positif COVID-19, jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu.

Perkara itu disahkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu ketika dihubungi Bernama.

“Kami lega sekarang, sebelum ini kami risau kerana beliau lama berada di hospital dan keputusan masih menunjukkan positif dalam beberapa ujian walaupun beliau sihat dan tiada sebarang simptom.

“Kini kami boleh menarik nafas lega dan Jackie juga boleh berasa tenang. Program latihan dan perkara lain akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Atlet berusia 28 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada 16 Mac selepas didapati positif COVID-19 dipercayai dijangkiti menerusi bapanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mengikut protokol baharu selepas menerima laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit akan dibenarkan pulang selepas 14 hari menerima rawatan.

Dr Noor Hisham berkata walaupun keputusan masih positif, virus itu tidak boleh menjangkiti orang lain selepas tempoh dua minggu.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter yang dicatat pada Kejohanan KOM di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, Ogos tahun lepas.

Beliau merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015 sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Malaysia. Namun pada edisi di Filipina tahun lepas, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Di peringkat Asia, Jackie menamatkan saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia di tempat ketujuh dengan balingan 65.92 meter selain pencapaian tempat kelapan pada Kejohanan Asia 2017 dan 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This