COVID-19: Kanada tak sertai Sukan Olimpik 2020
TORONTO,. Majlis Olimpik Kanada (COC) dan Majlis Paralimpik Kanada (CPC) tidak akan menyertai Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2020, berikutan kebimbangan penularan COVID-19.
Bantahan terhadap penganjuran temasya sukan yang dijadualkan pada Julai tahun ini semakin memuncak sejak 48 jam lalu dengan beberapa peserta utama menggesa ia ditangguhkan akibat pandemik yang melanda dunia sekarang.
Antara lain, pasukan olahraga US Track and Field dan UK Athletics bersama beberapa jawatankuasa Olimpik kebangsaan sudah menyuarakan bantahan atau permintaan untuk menangguhkannya.
Lebih 13,000 orang maut di serata dunia sejak wabak COVID-19 bermula akhir Disember lalu.
COC dan CPC, dalam satu kenyataan bersama, meminta Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) menangguhkan temasya sukan itu untuk setahun.
“Kami juga menawarkan sokongan penuh bagi menguruskan segala kerumitan akibat penjadualan semula acara sukan terbabit.
“Turut diakui bahawa perkara ini bukan mudah tetapi tiada yang lebih penting berbanding kesihatan dan keselamatan atlet kita serta penduduk dunia, katanya.
Jawatankuasa penganjur Olimpik dan Paralimpik dijangka mengadakan sidang akhbar di Tokyo, Jepun hari ini.
Semalam, IOC berkata akan mengadakan perbincangan termasuk mengenai penangguhan temasya yang sepatutnya bermula pada 24 Julai ini berikutan ancaman pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, tambah IOC, tindakan membatalkan sama sekali acara sukan itu tidak menyelesaikan masalah atau bermanfaat kepada sesiapa.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sebagai maklum balas kepada kenyataan IOC, berkata penangguhan Sukan Olimpik menjadi pilihan jika penganjuran sepertri biasa mustahil dilakukan.
Selain Kanada yang mengumumkan tidak akan menghantar atlet ke Tokyo, Majlis Olimpik Australia (AOC), berkata adalah lebih baik sekiranya Sukan Olimpik Tokyo diadakan pada 2021. – REUTERS