COVID-19: Kematian di Brazil melebihi 15,000 mangsa

COVID-19: Kematian di Brazil melebihi 15,000 mangsa

SAO PAULO,. Kematian akibat COVID-19 di Brazil melebihi 15,000 orang semalam manakala mereka yang dijangkiti virus itu melebihi 230,000 orang.

Ini menjadikan Brazil negara ke lima tertinggi terjejas akibat wabak COVID-19, yang setakat ini sudah mengorbankan hampir 310,000 orang di seluruh dunia.

Walaupun sudah mencapai 15,633 kematian dan 233,142 jangkitan yang disahkan, Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, masih memandang remeh ancaman virus itu, dengan menyifatkannya sebagai ‘masalah selesema yang kecil’.

Brazil juga kini menjadi pusat jangkitan wabak itu di Amerika Latin.

Sementara itu, Chile melaksanakan perintah berkurung yang ketat di ibu negara, Santiago, berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negara itu.

Orang ramai hanya dibenarkan keluar bagi membeli makanan dan ubat-ubatan selain beriadah untuk tempoh yang singkat.

Rabu lalu, Chile sedang bersedia untuk melonggarkan perintah berkurung berikutan kadar jangkitan yang semakin mendatar dengan hanya mencatatkan antara 350 dan 500 kes sehari.

Namun, kadar jangkitan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 hari lalu, di mana purata 1,000 kes sehari pada bulan lalu, meningkat kepada purata lebih 2,000 kes sehari.

Chile mencatatkan 41,428 kes jangkitan semalam selain 421 kematian, dengan 27 daripadanya berlaku dalam tempoh 24 jam. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This