COVID-19: Kes baharu di bawah angka 9,000

COVID-19: Kes baharu di bawah angka 9,000

KUALA LUMPUR,. Selepas tiga hari berturut-turut kes baharu harian COVID-19 mencatatkan angka melebihi 9,000, hari ini kes baharu menurun kepada 8,574 menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 844,870.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 4,308 kes diikuti Negeri Sembilan (794); Kuala Lumpur (609); Kedah (415); Melaka (411) dan Johor (407).

Selain itu, Pahang mencatatkan 314 kes; Sabah (298); Sarawak (235), Pulau Pinang (231); Perak (168); Terengganu (140); Kelantan (133); Labuan (66) dan Putrajaya (45).

Tiada kes baharu COVID-19 di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata daripada 8,574 kes baharu, sebanyak 8,534 melibatkan penularan dalam negara manakala 40 kes import.

Beliau berkata sebanyak 5,041 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 747,338.

“Kes aktif kini mencatatkan 91,272 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 964 orang dengan 452 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 102 kematian direkodkan hari ini melibatkan 97 warganegara dan lima warga asing, menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu kini 6,260 orang.

Sementara itu, beliau berkata 16 kluster baharu dikesan hari ini dengan lapan daripadanya adalah penularan dalam komuniti, lima kluster penularan di tempat kerja dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster komuniti direkodkan ialah kluster Kampung Pulau Kundur, Jalan Dusun Langgar dan Lorong Kubur Maras di Kelantan; kluster Tanjung Gelam dan Tok Molor di Terengganu; kluster Rantau Kesidang (Pahang); kluster Ketior Dalam (Perak); dan kluster Kampung Kendaie (Sarawak).

Kluster tempat kerja pula ialah kluster Resort Sepang dan Industri Jalan Utas di Selangor; kluster Tapak Bina Jalan Cendana (Kuala Lumpur); kluster Lorong Sentosa Satu (Negeri Sembilan) dan kluster Putrajaya 15 (Putrajaya).

Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula adalah kluster Bayam Tiga di Selangor; kluster Taman Utama Satu (Johor) dan kluster Seksyen 14 Jalan Bayam (Kelantan).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This