COVID-19: Kes baharu turun ke dua angka dengan 58 kes – KP Kesihatan

COVID-19: Kes baharu turun ke dua angka dengan 58 kes – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kes baharu COVID-19 menurun ke dua angka berbanding tiga angka semalam apabila mencatat 58 kes membabitkan 53 kes penularan tempatan dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah penularan tempatan sebanyak 29 kes adalah warganegara dan 24 kes bukan warganegara, manakala tiga warganegara dan dua bukan warganegara bagi kes import dari Pakistan, India, Indonesia, Syria dan Filipina.

Katanya, di Sabah sebanyak 48 kes dicatatkan dengan 44 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu, tiga daripada Kluster Laut ((kluster baharu) dan satu kes saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth.

Menurutnya daripada 48 kes itu, 24 melibatkan bukan warganegara.

“D Kedah terdapat lima kes daripada Kluster Sungai dan menjadikan jumlah kes aktif (keseluruhan) dengan dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 551 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan lima kes memerlukan bantuan pernafasan, sementara tiada pertambahan kes kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu kekal 128 kes.

Katanya terdapat lapan kes yang telah pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 9,189 kes.

Sementara itu mengenai kluster aktif, Dr Noor Hisham berkata Kluster Benteng Lahad Datu hari ini mencatatkan 44 kes baharu dengan jumlah keseluruhan kes dalam kluster itu kini 381 kes.

“Pecahan jumlah mengikut daerah, Tawau mencatatkan 43 kes baharu manakala Lahad Datu, satu kes baharu.

“Kluster tersebut melibatkan 361 banduan dikesan positif COVID-19, dua kakitangan dikesan positif, tiga kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan dikesan positif, sementara tiada pegawai agensi kerajaan lain dikesan positif, manakala 15 kontak sosial dikesan positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah 381 kes positif kluster itu, 168 adalah dalam kalangan warganegara sementara 213 adalah bukan warganegara melibatkan Filipina (149 kes) dan Indonesia (64 kes).

Katanya Kluster Sungai pula mencatatkan pertambahan lima kes pada hari ini membabitkan 8,258 orang disaring termasuk 709 petugas kesihatan.

Untuk kluster itu, katanya, lima kes baharu itu dikesan di Kedah, menjadikan jumlah keseluruhan 55 kes, sementara tujuh lagi individu masih menunggu keputusan saringan di Pulau Pinang (124 negatif), manakala Perlis (satu kes positif) mempunyai 11 individu negatif dengan lima masih menunggu keputusan.

“Situasi terkini dalam kluster-kluster sedia ada dan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This