COVID-19: Kes baharu turun kepada 17,352, jumlah di Sarawak kini atasi Selangor – Dr Noor Hisham
KUALA LUMPUR,. Jumlah kes baharu COVID-19 dalam negara semalam mencatat penurunan apabila merekodkan 17,352 kes berbanding 20,396 kes semalam dengan Kuala Lumpur dan Selangor yang sebelum ini melaporkan kes tertinggi kini turut menyaksikan penurunan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi hantaran dalam laman Twitter berkata dengan jumlah kes baharu itu, kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini 1,862,187 kes.
Sarawak hari ini menjadi negeri yang mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,714 kes direkodkan, sekali gus mengatasi kes baharu di negeri Selangor yang merekodkan 2,126 kes.
Selangor mencatatkan peningkatan kes sejak April lepas dan kekal sebagai negeri yang merekodkan angka tertinggi kes harian terbaharu mengatasi negeri-negeri lain, dan negeri itu mencatatkan ledakan angka harian tertinggi melebihi 7,000 pada bulan Julai.
Bilangan kes harian di Selangor dan Kuala Lumpur mula menunjukkan penurunan setelah Lembah Klang mencapai imuniti kelompok dengan peratusan vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus, dengan Kuala Lumpur hari ini mencatat 398 kes baharu.
Memperinci kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata Johor mencatatkan 2,101; Sabah (1,844); Kedah (1,599); Pulau Pinang (1,558); Kelantan (1,213); dan Perak (1,082).
“Sementara itu, negeri yang merekodkan kes di bawah 1,000 adalah Terengganu 700 kes; Pahang (463); Melaka (295); Negeri Sembilan (193); Perlis (38); Putrajaya (23); dan Labuan lima kes,” katanya.
– Bernama