
COVID-19: Kes positif di Indonesia lepasi angka 15,000
JAKARTA,. Sebanyak 689 lagi kes baharu COVID-19 dilaporkan di Indonesia menjadikan jumlah keseluruhan melepasi angka 15,000 kes, sejak kes pertama dikesan pada 2 Mac lalu.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata rakyat negara itu perlu membudayakan gaya hidup sihat dan menjalani normal baru bagi membendung penularan virus pandemik berkenaan.
“Kes positif terus meningkat, kini 15,438 iaitu tambahan 689 lagi kes dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Dalam tempoh itu juga, 21 lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian bertambah kepada 1,028 orang, manakala pesakit yang masih dalam pengawasan virus itu kini berjumlah 33,042 orang.
Pemerintah Indonesia melaksanakan perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) sejak 15 Mac lalu secara berperingkat-peringkat dan ia dilanjutkan sehingga 22 Mei ini, manakala arahan pergerakan antara wilayah atau “balik kampung” dilarang sehingga 1 Jun ini. – BERNAMA