COVID-19: KKM boleh guna aset APM untuk bawa pesakit ke hospital

COVID-19: KKM boleh guna aset APM untuk bawa pesakit ke hospital

ALOR GAJAH,. Aset Angkatan Pertahanan Awam (APM) terutama ambulans adalah mencukupi jika Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menggunakannya terutama untuk memindahkan pesakit COVID-19 dari rumah ke pusat perubatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) boleh menguruskan aset yang diperlukan KKM terutama di zon merah mahupun di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

“Ia terpulang kepada Kementerian Kesihatan… sekiranya kita perlu menggerakkan ambulans APM (untuk angkut pesakit COVID-19) kita akan pastikan ambulans itu boleh diguna pakai (mengikut prosedur operasi standard) Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Bernama ketika menghadiri Sambutan Ambang Tahun Baharu Perdana Peringkat Parlimen Alor Gajah di Masjid Ar-Rasyidin, di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata pesakit COVID-19 yang tidak bergejala perlu menjalani kuarantin kendiri sebelum dibawa ke hospital.

Beliau berkata katil di hospital masih mencukupi namun berlaku kelewatan untuk memindahkan pesakit dari rumah ke pusat perubatan susulan lonjakan kes COVID-19 selain masa yang diperlukan bagi mengatur keperluan logistik.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )