COVID-19: KKM harap golongan rentan terus dilindungi – Dr Noor Hisham

COVID-19: KKM harap golongan rentan terus dilindungi – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) berharap masyarakat akan terus memainkan peranan untuk melindungi golongan rentan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata golongan itu termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, Orang Asli, pesakit dialisis dan kanser serta kumpulan berpenyakit kronik dan berimuniti rendah.

“KKM akan memperkasakan komuniti dan melindungi zon hijau serta mempertingkatkan kawalan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi melalui program Peka B40.

“KKM juga akan mempertingkatkan integrasi perkhidmatan kepada rakyat melalui gabungan kerjasama antara perkhidmatan awam dan swasta,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman sesawang rasmi beliau.

Video berdurasi 14 minit 50 saat itu antara lain memuatkan sorotan COVID-19 sepanjang 2020 meliputi bilangan kes dan ventilator, jumlah katil dan ujian prapembedahan yang telah dijalankan sehingga Disember.

Sorotan itu juga merangkumi kerjasama KKM bersama agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan untuk pengawasan penularan COVID-19 mempunyai 25.95 juta pengguna berdaftar sehingga 23 Dis lepas.

“Sebilangan 1.38 juta perniagaan berdaftar sehingga 28 Dis manakala sebanyak 2.46 bilion daftar masuk direkodkan sehingga 28 Dis,” katanya.

Beliau turut mengulangi peringatan mesranya kepada masyarakat iaitu sentiasa amalkan kebersihan kendiri, kerap membasuh tangan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kita masih belum menang dan perang COVID-19 ternyata semakin sengit. Marilah kita berpadu tenaga dan sama-sama patuh kepada segala nasihat dan SOP untuk mengelakkan diri kita daripada dijangkiti. Semoga pada tahun 2021 kita dipermudahkan dalam segala urusan.

“Selamat Tahun Baharu 2021. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga masyarakat dan negara kita,” katanya.

Video soroton itu boleh ditonton melalui pautan https://kpkesihatan.com/2020/12/31/sorotan-covid-19-sepanjang-2020-dari-ketua-pengarah-kesihatan/

Setakat 31 Dis, Malaysia mencatatkan sejumlah 113,010 kes positif COVID-19 dengan 471 kematian manakala 88,941 kes telah sembuh.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This