COVID-19: KWK jaga kebajikan rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Itali, Iran

PUTRAJAYA,. Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) diberi tanggungjawab untuk menjaga serta mengurus hal ehwal kebajikan rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Itali dan Iran susulan penularan COVID-19, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata peranan yang akan diambil melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah menyediakan keperluan asas seperti makan, minum, pakaian, peralatan harian dan keperluan lain serta mendaftar dan mengemas kini maklumat mereka yang menjalani pengawasan.
“JKM juga akan menyelaras sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat dan individu mengikut keperluan serta menguruskan aduan berkaitan keperluan dan menyediakan perkhidmatan kaunseling, jika diperlukan, kepada keluarga,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan dalam proses membawa pulang 65 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 di Itali berikutan situasi penularan COVID-19 yang semakin teruk di kedua-dua negara.
Rina berkata JKM akan menyediakan petugas yang mencukupi, termasuk pasukan dalam misi pengawasan rakyat Malaysia dari Wuhan sebelum ini, bagi membantu urusan dan keperluan harian mereka yang bakal dibawa pulang selama tempoh kuarantin.

“Dalam hal ini, KWK sangat prihatin terhadap kebajikan mereka dan berhasrat memberikan insentif khas kepada petugas ini sebagai apresiasi kementerian terhadap sumbangan serta komitmen yang padu kepada negara,” kata Rina.

Pada masa sama, beliau berkata kementerian itu amat mengambil berat mengenai kesihatan dan kesejahteraan penghuni di 70 institusi yang terdiri daripada 38 institusi bagi kanak-kanak, 12 bagi warga emas,10 bagi orang kurang upaya, lima bagi orang papa dan lima bagi mangsa pemerdagangan orang.

Justeru, katanya, KWK telah mengambil langkah-langkah pencegahan dengan membekalkan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut di semua institusi terbabit selain memberikan khidmat nasihat berkaitan penularan COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )