COVID-19: MAIK galakkan jemaah pakai pelitup muka di masjid, surau

COVID-19: MAIK galakkan jemaah pakai pelitup muka di masjid, surau

KOTA BHARU,. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menggalakkan jemaah masjid dan surau memakai pelitup muka bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya masih dalam perancangan untuk mengeluarkan surat pekeliling kepada masjid dan surau di negeri ini sebagai langkah awal mengekang penularan wabak tersebut.

“Kita (MAIK) akan mengeluarkan surat pekeliling memaklumkan supaya masjid dan surau di Kelantan menggalakkan jemaah memakai pelitup muka memandangkan ada berlaku peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

“Kalau kita lihat dari segi statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan memang ada peningkatan tetapi masih lagi terkawal,” katanya pada sidang media Majlis Pembayaran Zakat Korporat di Pejabat MAIK, di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, tiga syarikat korporat iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) membayar zakat korporat berjumlah lebih RM1.1 juta, Lembaga Jurukur Tanah (RM1 juta), Angkatan Koperasi Kebangsaan (RM130,493) dan syarikat persendirian AnaZahra OEM sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata dalam tempoh Januari hingga semalam, MAIK berjaya mengutip zakat korporat berjumlah RM36,344,683.05 menunjukkan peningkatan 5.4 peratus berbanding RM34,480,828.96 pada tahun lalu dalam tempoh yang sama.

“Bayaran zakat perniagaan daripada syarikat korporat di Kelantan adalah agak baik dari setahun ke setahun berdasarkan jumlah bayaran yang diterima MAIK,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Rizam berkata ramai asnaf di bawah MAIK sudah keluar daripada garis kemiskinan kerana jumlah penerima semakin berkurangan daripada 10,000 kepada 8,000 orang setakat ini.

“Setiap tiga tahun sekali MAIK akan melakukan pemutihan penerima zakat dan daripada situ kami dapat mengenal pasti berapa ramai asnaf yang keluar daripada garis kemiskinan.

“Selain itu, dengan bantuan tabung pendidikan yang diberikan kepada generasi kedua anak-anak asnaf juga dapat membantu mereka sekali gus berjaya mengubah nasib keluarga,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This