COVID-19: Pasar Umum Bandar Sandakan ditutup

COVID-19: Pasar Umum Bandar Sandakan ditutup

SANDAKAN,. Pasar Umum Bandar Sandakan di sini akan ditutup selama tujuh hari bermula Selasa berikutan mencatatkan satu kes jangkitan COVID-19, dua hari lepas.

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Sandakan Sundusin Nganro berkata, penutupan itu bertujuan untuk melakukan disinfeksi di keseluruhan kawasan pasar bagi mengelak risiko penularan wabak itu.

Selain itu, beliau berkata ia bagi memastikan mereka yang berada di pasar tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini kerana katanya, berdasarkan pemantauan awal, pihaknya mendapati masih terdapat peniaga dan pengunjung yang melanggar SOP ditetapkan.

“Kita akan tutup keseluruhan kawasan pasar selama tujuh hari bermula hari ini. Tetapi sekiranya kerja-kerja disinfeksi selesai dalam tempoh tiga hari, kita akan buka semula selepas itu.

“Semua tingkat dalam pasar ini akan tutup bagi mengelak orang ramai datang ke sini sekaligus mengurangkan risiko jangkitan,” katanya dalam sidang media di Pasar Umum Bandar Sandakan.

Katanya, selepas dua bulan berada dalam Zon Hijau, Sandakan kini kembali ke Zon Kuning selepas terdapat satu kes jangkitan dilaporkan.

Bagaimanapun, pihaknya dengan kerjasama semua pihak akan berusaha untuk memastikan wabak COVID-19 dapat dibendung.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja disinfeksi hanya dilakukan di Pasar Umum Bandar Sandakan kerana risiko jangkitan.

Meskipun pasar-pasar lain tidak berisiko, namun pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Kesihatan Sandakan untuk perkara tersebut bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

CATEGORIES
TAGS
Share This