
COVID-19: Perolehan pengurusan banjir sedang dilakukan – Redzuan
MELAKA,. Kerajaan sedang membuat perolehan berhubung pengurusan banjir termasuk keperluan petugas, dalam mengekang penularan COVID-19 sepanjang tempoh musim tengkujuh yang dijangka bermula awal November sehingga Mac tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perolehan itu termasuk pembelian aset baharu seperti bot, kenderaan pacuan empat roda, barangan makanan, khemah dan kelengkapan perlindungan diri (PPE).
“Kita telah membuat peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk mewajibkan pemakaian PPE, dalam kalangan petugas yang terlibat dalam misi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
“Ia menjadi satu cabaran kepada kerajaan untuk mengurus bencana banjir ini, dalam situasi penularan COVID-19 dan pendekatan atau norma baharu perlu diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Pengamal Media Cetak dan Elektronik Negeri Melaka di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan dihadkan, bagi memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan mangsa dapat dilaksanakan.
Katanya, jumlah petugas yang akan terlibat dalam pengurusan banjir juga dijangka mencukupi, kerana petugas agensi dan jabatan daripada pelbagai kementerian, akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 5,422 PPS mampu menampung lebih 1.5 juta mangsa banjir di seluruh negara, jika bencana tersebut berlaku pada satu-satu masa.
— BERNAMA