COVID-19 ragut satu lagi nyawa di Sarawak

COVID-19 ragut satu lagi nyawa di Sarawak

KUCHING, 21 Jan — Sarawak merekodkan satu kematian akibat COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat jangkitan virus berbahaya itu meningkat kepada 22 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kematian ke-22 itu merupakan kes ke-2,546 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri pada 18 Jan lepas kerana mengalami kesukaran bernafas.

Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia semalam (20 Jan).

“Saringan ujian COVID-19 yang diambil pada 18 Jan didapati positif pada 20 Jan. Kes mempunyai penyakit kegagalan buah pinggang pada tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

Sarawak hari ini merekodkan 132 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 2,702 kes.

JPBN turut memaklumkan Kuching, Sibu, Miri, Beluru dan Kanowit kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,206 kes jangkitan tempatan dilaporkan di kelima-lima daerah dalam tempoh 14 hari lepas.

Daerah Sebauh dan Dalat juga kekal berstatus jingga dengan 50 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh sama.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This