
COVID-19: Sarawak catat kes harian tertinggi negeri hari ini
KUCHING, 9 Jan — Sarawak mencatatkan 55 kes baharu COVID-19 hari ini iaitu kes harian tertinggi negeri berkenaan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan pandemik sebanyak 1,251 kes.
Sebelum ini, kes positif harian tertinggi di Sarawak ialah sebanyak 32 kes direkodkan 1 April tahun lepas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes baharu positif hari ini, 37 kes dikesan di Sibu, 15 kes di Kuching, dua di Miri dan satu di Bintulu.
Satu kluster baharu turut dikesan iaitu Kluster Pasai melibatkan daerah Sibu dan Mukah yang menjadi penyumbang terbesar dalam keseluruhan kes positif COVID-19 hari ini.
“Setakat 12 tengah hari semalam, sebanyak 73 individu telah disaring (dalam kluster ini) menyaksikan 38 dikesan positif COVID-19 (termasuk kes indeks) manakala 27 individu masih menunggu keputusan,” menurut JPBN.
JPBN memaklumkan empat kes telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 1,094 orang atau 87.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.
Menurut kenyataan itu, Sibu kini dalam zon jingga apabila 39 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas manakala Lawas pula diisytihar zon hijau setelah tiada kes positif COVID-19 jangkitan tempatan dikesan dalam tempoh sama.
— BERNAMA