COVID-19: Sarawak catat tiga lagi kematian, 221 kes baharu

COVID-19: Sarawak catat tiga lagi kematian, 221 kes baharu

KUCHING: Tiga lagi kematian melibatkan jangkitan COVID-19 direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 87 orang di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kematian pertama membabitkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang mendapat rawatan di Hospital Miri kerana mengalami sesak nafas.

Mangsa yang berumur 42 tahun itu, katanya, juga mengalami gejala demam dan batuk.

“Saringan ujian dengan rapid molecular adalah positif COVID-19 pada 24 Februari 2021. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mac 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit jantung iskemia, darah tinggi, kencing manis, gout dan dislipidemia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut JPBNS, kes kematian kedua adalah melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 53 tahun yang dirujuk ke Hospital Bintulu dari sebuah hospital swasta apabila saringan ujian rapid test kit antigen adalah positif COVID- 19.

“Kes mempunyai gejala batuk dan demam beberapa hari sebelum ini. Ujian saringan dengan rT-PCR adalah positif pada 2 Mac 2021. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mach 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis dan obesiti,” jelasnya.

Manakala kes kematian ketiga pula, katanya, membabitkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) yang mendapat rawatan di Hospital Sibu dan kes mempunyai gejala seperti batuk dan demam beberapa hari sebelum itu.

“Saringan Ujian rT-PCR bagi mangsa berusia 58 tahun ini adalah positif COVID-19 pada 21 Januari 2021. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 05 Mac 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia,” katanya.

Sementara itu, turut dilaporkan jumlah kes baharu COVID-19 di seluruh Sarawak hari ini adalah sebanyak 221 kes dengan Sibu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 79 kes. Bintulu mencatatkan 33 kes, Betong (32), Kuching (17), Kapit (12), Julau (10), Serian (10), Meradong (8), Miri (5), Sebauh (5), Bau (3), Selangau (3), Pusa (2), Sarikei (1) dan Tatau (1).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 10,895 kes

Hari ini juga 225 individu disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan empat PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

-UtusanBorneo

CATEGORIES
Share This