
COVID-19: Sektor pekerjaan Amerika berdepan kejatuhan terburuk dalam sejarah
WASHINGTON,. Hampir semua pekerjaan dibangunkan melalui sektor ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sejak berdekad lalu, lumpuh hanya dalam tempoh sebulan apabila semua kedai dan kilang terpaksa ditutup, bagi membendung penularan COVID-19.
Angka penduduk yang kehilangan pekerjaan dengan peningkatan kadar pengangguran paling bersejarah di negara itu dijangka disahkan dalam laporan pekerjaan bulanan Jabatan Buruh untuk April, iaitu tempoh sebulan pertama tempoh perintah berkurung dilaksanakan.
AS kini menjadi negara dunia yang merekodkan kes positif dan kematian berikutan wabak coronavirus, dengan lebih daripada 75,000 kematian serta 1.2 juta kes dilaporkan semalam, menurut Johns Hopkins University.
Kehancuran ekonomi ini direkodkan sebagai terlalu cepat dan mengejutkan.
“Ini kejatuhan terbesar dalam sejarah,” kata Roiana Reid dari Berenberg Capital Markets dalam analisis laporan pekerjaan bagi April.
Reid menyasarkan 21 juta kehilangan pekerjaan direkodkan pada bulan lalu dan ia selari dengan ramalan kaji-selidik.
Bagaimanapun, ahli ekonomi, Diane Swonk dari Grant Thornton pula memberikan pandangan lebih pesimistik dengan melihat kerosakan ekonomi di AS lebih dijangka lebih tinggi, iaitu sebanyak 34 juta dalam tempoh sebulan.
“Ini termasuk 26 juta kehilangan pekerjaan yang dikesan dalam tuntutan mingguan bagi manfaat individu yang menganggur dalam tempoh sebulan.
“Selain itu, tambahan lapan juta pekerja yang sama ada proses permohonannya belum diproses atau individu tanpa dokumen yang turut kehilangan pekerjaan.
“Apa yang lebih mengejutkan, kerugian ini merangkumi hampir setiap industri dan pendapatan,” katanya.
Amerika Syarikat pernah melalui krisis kewangan global pada 2008 dan dalam tempoh dua tahun itu, kuasa ekonomi terbesar dunia itu kehilangan 8.6 juta pekerjaan.
Dalam tempoh pemulihan ekonomi yang berlangsung dalam tempoh Februari 2010 hingga Februari 2020 itu, 23 juta pekerjaan dihasilkan. – AFP