COVID-19: Sembilan kes baharu, jumlah kes aktif kini 213

KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Sebanyak sembilan kes baharu positif COVID-19 dikesan hari ini berbanding 12 semalam dengan tujuh daripadanya adalah kes import dan dua lagi penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,985 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 213 kes.

Kes import itu melibatkan lima warganegara dan dua bukan warganegara, manakala kes penularan tempatan pula masing-masing seorang warga tempatan dan warga asing.

“Perincian kes penularan dalam negara membabitkan warganegara adalah di negeri Kedah. Kes itu daripada Kluster PUI Sivagangga.

“Bagi kes bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor dan kes itu daripada Kluster Bukit Tiram,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 8,647 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, terdapat hanya dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif maut akibat wabak itu kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai satu kes baharu melibatkan kluster Bukit Tiram hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia merupakan kes pertama kluster itu yang dikesan di luar Johor.

“Kes positif yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-8,977) merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,893 (Kluster Bukit Tiram) dari negeri Johor.

“Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif, kes ke-8,893 didapati pernah menginap di rumah kes ke-8,977 dari 16 Julai sehingga 19 Julai lepas di Selangor,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata selepas kes ke-8,977 dikenal pasti, individu itu diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

Ujian saringan COVID-19 kali kedua dijalankan apabila kes ke-8,977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak, seterusnya beliau disahkan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, katanya.

Sehingga hari ini, seramai 135 orang telah disaring bagi kluster Bukit Tiram dan daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes termasuk empat bukan warganegara dikesan positif COVID-19, sementara 124 lagi negatif serta satu masih menunggu keputusan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )