COVID-19 : Singapura catat 12 kes baharu, 8 pesakit dibenarkan pulang

COVID-19 : Singapura catat 12 kes baharu, 8 pesakit dibenarkan pulang

SINGAPURA,. Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah melaporkan 12 lagi kes jangkitan COVID-19 di republik itu dan satu daripadanya dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan di Masjid Sri Petaling di Malaysia.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di republik itu setakat ini ialah 212.

Menurut kenyataan MOH hari ini, kes yang dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan itu membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 44 tahun yang berada di Malaysia dari 28 Feb hingga 3 Mac.

Mangsa, yang kini ditempatkan di bilik isolasi Hospital Besar Sengkang (SKH), dilaporkan mula mengalami gejala jangkitan itu pada 3 Mac.

Beliau pergi ke SKH pada 12 Mac dan keputusan ujian mengesahkan bahawa mangsa dijangkiti virus berbahaya itu pada hari berikutnya, menurut kementerian.

Sebelum dimasukkan ke hospital, MOH berkata mangsa telah mengunjungi Masjid Al-Mawaddah yang terletak di No 151 Compassvale Bow; Masjid Jamek (Chulia) di No 218, South Bridge Road dan Masjid AlIstiqamah di No 2, Serangoon North Avenue 2.

Menurut kementerian itu, lapan kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh setakat ini ialah 105 orang.

Daripada 107 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih manakala 14 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 5,244 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This