COVID-19: Singapura catat 14 kes baharu, 105 pesakit pulih

COVID-19: Singapura catat 14 kes baharu, 105 pesakit pulih

SINGAPURA,. Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah mengesahkan 14 jangkitan baharu COVID-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 226.

Menurut kenyataan MOH hari ini, dua adalah sebahagian daripada kluster yang membabitkan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong pada 15 Feb, tiga dikaitkan dengan kes sebelum ini manakala sembilan lagi merupakan kes import.
Bagi kes baharu yang dicatat hari ini, tiada rakyat Malaysia terlibat dan tiada kes positif yang dikaitkan dengan perhimpunan massa di sebuah masjid di Malaysia.

Bagaimanapun, satu daripada kes yang dikaitkan dengan kluster SAFRA Jurong telah berada di Malaysia dari 1 hingga 4 Mac.
Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 50 tahun telah disahkan dijangkiti COVID-19 pagi ini dan ditempatkan di bilik isolasi Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID).

Beliau adalah kontak bagi Kes 117 iaitu seorang wanita rakyat Singapura berusia 52 tahun yang disahkan telah dijangkiti COVID-19 pada 5 Mac dan dikaitkan dengan kluster sama.

Setakat ini, MOH berkata sejumlah 105 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus itu dan dibenarkan keluar dari hospital.

Daripada sejumlah 121 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih manakala 13 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Setakat tengah hari, MOH telah mengenal pasti sejumlah 5,472 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This