COVID-19: Singapura lepasi 60 ribu kes

COVID-19: Singapura lepasi 60 ribu kes

SINGAPURA: Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura melepasi 60,000 hari ini selepas sembilan lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu. Dalam data awal yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan republik itu berkata tiada kes baharu dalam kalangan komuniti tempatan.

Kes baharu yang semuanya kes import itu telah dikeluarkan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura, menurut kementerian itu. Kementerian itu masih meneliti butiran kes terbabit dan kemas kini lanjut akan dikongsi kemudian.

Sehingga 4 Mac, seramai 59,857 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah discaj dari hospital atau kemudahan komuniti di sini. Pada masa ini terdapat 24 kes yang disahkan yang masih berada di hospital dengan seorang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sebanyak 88 kes, yang mempunyai gejala ringan atau yang disahkan sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif untuk COVID-19, diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 29 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di Singapura.

– BERNAMA

CATEGORIES
Share This