COVID-19: Tempat kerja sempit punca penularan kluster di Sabah

COVID-19: Tempat kerja sempit punca penularan kluster di Sabah

KOTA KINABALU,. Ruang tempat kerja yang sempit dipercayai menjadi punca tercetus penularan COVID-19 dalam Kluster Pintas-Lingkudau yang direkodkan di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan COVID-19 berkata kluster itu sehingga semalam melibatkan 10 kes kumulatif dicetus seorang eksekutif wanita berusia 34 tahun di syarikat bekalan elektrik di Keningau yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada Selasa lepas.

“Kluster ini melibatkan penularan kes di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di daerah Keningau dan Mukim Sunsuron di daerah Tambunan.

“Aktiviti pengesanan dan saringan kontak rapat serta penyiasatan punca penularan masih giat dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di sini malam tadi.

Masidi berkata Sabah pada Jumaat merekodkan 199 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negeri ini sebanyak 67,177 manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 253 orang menjadikan jumlah kumulatif 64,354 orang.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Mohd Arifin Mohd dalam kenyataan berasingan berkata Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan mengagihkan 4,000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melibatkan peruntukan RM300,000.

Beliau berkata selain itu MUIS juga menyerahkan bantuan khas sekali bayar berjumlah RM100,000 kepada waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia dan disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta hospital.

“Bantuan bakul makanan merupakan inisiatif Bahagian Zakat dan Fitra MUIS yang diagihkan kepada asnaf di setiap daerah seluruh Sabah, manakala waris pesakit meninggal dunia boleh memohon bantuan khas melalui Pegawai Tadbir Agama daerah atau merujuk kepada Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )