COVID-19: Thailand kesan kontak rapat pesakit COVID-19

BANGKOK, 4 Sept — Thailand kini berusaha keras mencari kontak rapat seorang lelaki, selepas negara itu melaporkan jangkitan tempatan COVID-19 mereka yang pertama selepas 100 hari.

Pengarah Jabatan Pengawalan Penyakit Berjangkit Dr Sophon Lamsirithawon berkata, pegawai jabatan kesihatan awam telah menguji hampir 200 orang yang berhubungan dengan pesakit baru itu, iaitu seorang banduan di sebuah penjara di Bangkok.

Beliau berkata, pihak terbabit mengesan pergerakan pesakit itu sehingga dua minggu lepas menerusi Thai Chana, satu aplikasi bagi mengesan orang ramai yang mendaftarkan diri di temapt-tempat yang mereka pergi.

“Hampir 200 orang termasuk ahli keluarganya, rakan di penjara dan orang yang ada di mahkamah (pada 26 Ogos) telah menjalani ujian tersebut.

“Sehingga kini, kesemua mereka diuji negatif,” katanya di sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, 72 daripada 200 kontak rapat pesakit itu diklasifikasikan sebagai kumpulan berisiko tinggi. Kesemua mereka kini menjalani kuarantin.

Semalam, Thailand melaporkan jangkitan tempatan COVID-19 yang pertama mereka dalam tempoh 100 hari selepas seorang banduan berusia 37 tahun diuji positif di sebuah penjara di Bangok.

Lelaki itu yang merupakan seorang DJ di sebuah kelab malam, diuji positif dalam ujian biasa. Beliau kemudiannya di bawa ke hospital Bangkok untuk dirawat.

Lelaki itu bekerja di tiga tempat berbeza di Bangkok dalam tempoh dua minggu lepas.

Sehingga kini Thailand melaporkan sejumlah 3,432 kes COVID-19 dan 58 kematian.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )