COVID-19: Thailand sahkan lima kes baharu, jadikan keseluruhan 75 kes

COVID-19: Thailand sahkan lima kes baharu, jadikan keseluruhan 75 kes

BANGKOK,. Thailand pada Jumaat mencatatkan lima lagi kes COVId-19 yang disahkan, kesemuanya berkaitan kepada berkongsi minuman dan rokok dalam dua kluster, menjadikan keseluruhan kes yang disahkan di negara itu, meningkat kepada 75 kes.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand Dr Sukhum Kanchanapimai berkata, dua kes baharu merupakan kes sekumpulan rakan yang berkongsi minuman dan rokok, pada dua kejadian berbeza pada akhir Februari.
Beliau berkata 11 kes baharu dilaporkan pada Khamis dan seorang pelancong dari Hong Kong telah dikenal pasti, sebagai punca kepada satu kluster baharu.

Sehingga kini beliau berkata, 13 daripada 15 yang diuji, telah didapati positif COVID-19, menjadi kluster terbesar sejak penularannya pada Januari.
Sukhum berkata, tiga lagi kes baharu yang dilaporkan dikaitkan kepada seorang wanita Thai, yang pulang dari Korea Selatan, tetapi tidak melakukan kuarantin kendiri.

Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun itu, didapati positif COVID-19 dan dikenali sebagai pesakit 57.

“Wanita itu telah dikenal pasti sebagai punca kepada tiga kes baharu itu.

“Selepas pulang dari Korea Selatan, beliau telah keluar bersama rakan-rakan dan ahli keluarga, termasuk tiga yang tersebut – adik lelaki dan dua rakan mereka (lelaki dan wanita). Mereka juga berkongsi minuman,” katanya pada taklimat harian COVID-19 pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak berkuasa kini memantau lapan lagi kontak rapat wanita tersebut.

Sementara itu, Sukhum mengesa orang ramai untuk berhenti berkongsi minuman dan rokok bagi mengekang penularan COVID-19 di negara itu.

“Jangan berkongsi minuman dan rokok … ia tidak sesuai,” katanya.

Beliau juga mengesa mereka yang pulang dari negara yang berisiko tinggi untuk melakukan kuarantin kendiri dan mengelakkan untuk bersosial dengan ahli keluarga dan rakan.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 75 kes COVID-19, dengan satu kematian.

Daripada jumlah itu, 39 masih menerima rawatan di hospital, manakala 35 lagi telah dibenarkan pulang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This