COVID-19: Tiada kematian dilapor, 67 kes baharu, 96 kes pulih – KP Kesihatan

COVID-19: Tiada kematian dilapor, 67 kes baharu, 96 kes pulih – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 10 Mei — Tiada kematian direkodkan akibat COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu kekal 108 kes atau 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu pula menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam apabila mencatat 67 kes dengan 49 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 6,656 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,523 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kes pulih dan dibenarkan discaj pula terus mengatasi kes baharu iaitu sebanyak 96 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan adalah sebanyak 5,025 kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This