COVID-19: Tiga strategi kerajaan Malaysia dipuji pakar Indonesia
KUALA LUMPUR,. Strategi kerajaan Malaysia dalam memastikan usaha menangani wabak COVID-19 berada di landasan yang betul dipuji oleh seorang pakar Indonesia.
Pakar Komunikasi dan Penggiat Literasi Media Santi Indra Astuti, yang sejak awal perlu akur pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang turut mengenal pasti tiga langkah utama yang menjayakan strategi dalam melawan COVID-19 iaitu narasi tunggal, ketelusan dan akamodatif.
1) Penyampaian arahan tunggal
Jelas Santi, kerajaan Malaysia cekap untuk memastikan maklumat yang disampaikan itu hanya daripada satu sumber, lantas mengelak kecelaruan dalam penyampaian maklumat.
“Pertama adalah narasi (penyampaian maklumat) tunggal daripada pemerintah, tiada yang berbeza-beza arahan.
“Maka, kalau (di Malaysia) Perdana Menteri mengatakan sesuatu, ia dituruti oleh pihak (atau agensi berkaitan) yang di bawahnya.
“Bukannya menteri ini menterjemahkan ini, dan menteri itu menterjemahkan yang lain pula.
“Kalau mereka di Indonesia masih tertanya-tanya sama ada lockdown atau tidak, dilakukan PSBB (Perbatasan Sosial Berskala Besar) atau tidak atau ada peraturan lain.
“Di Malaysia pula tidak ada pertanyaan sebegitu… terus melakukan lockdown (Perintah Kawalan Pergerakan),” ujarnya.
Tegas Santi, penyampaian maklumat tunggal itu sangat penting, dan sekali gus tidak membuatkan rakyat menjadi bingung.
2) Ketelusan
Faktor kedua katanya, kerajaan Malaysia bersifat telus mengenai keadaan sebenar dan memaklumkan langkah yang bakal diambil.
Malaysia sejak awal menyedari hakikat penularan dan ancaman wabak ini, maka tindakan selanjutnya diambil berdasarkan perkembangan pada waktu keputusan diambil, tanpa berdolak-dalik mengenainya.
Mungkin keputusan yang diambil itu salah, kata Santi, tapi COVID-19 juga sesuatu yang baharu (maka keputusan dibuat berdasarkan situasi yang dihadapi).
“Sehari setelah kami di bawah perintah PKP di kampus, kami dikehendaki menyertai penstriman langsung di peringkat universiti, dan ia terbuka kepada semua pihak dalam universiti untuk memberi komentar dan mengajukan pertanyaan,” kongsi Santi.
Santi yang kagum dengan keterbukaan itu berpendapat, langkah itu membolehkan orang ramai bersiap sedia untuk berhadapan dengan sebarang perubahan yang tidak dijangka.
Maka, secara keseluruhan, konsep itu membuatkan rakyat Malaysia tidak berbalah, contohnya kelmarin (dikatakan) begini, sekarang begini (pula).
3) Cari penyelesaian
“Tidak boleh reaktif, tetapi accommodative (bersifat mencari penyelesaian),” tegas Santi.
Santi memberi contoh langkah kerajaan Malaysia yang bukan sahaja meletakkan pelitup mulut dan hidung dalam senarai barangan harga kawalan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan, malah hukuman yang dikenakan ke atas pelaku juga tegas.
“Kalau di Indonesia, undang-undang perdagangan itu hanya mengatur beberapa perkara, maka pihak yang mencatut pelitup hidung dan mulut hanya ditangkap untuk diberi peringatan sahaja,” jelasnya.
–ASTRO AWANI