COVID-19: Timbalan Presiden Iran antara 7 pegawai kerajaan disahkan positif

COVID-19: Timbalan Presiden Iran antara 7 pegawai kerajaan disahkan positif

TEHRAN,. Selepas Timbalan Menteri Kesihatan, seorang lagi pegawai kanan kerajaan di Iran disahkan positif COVID-19.

Timbalan Presiden Iran, Masoumeh Ebtekar menjadi antara sekurang-kurangnya tujuh pegawai kerajaan yang disahkan virus membawa maut itu.

Republik Islam berkenaan kini mencatat 26 kematian akibat penularan wabak tersebut.

Memetik laporan The New York Times, Ebtekar, yang juga memegang portfolio Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, kini dikuarantin di rumah.
Beliau tidak dimasukkan ke hospital kerana hanya mengalami simptom ringan COVID-19.

Ebtekar dikenali sebagai “Mary” ketika menjadi jurucakap Bahasa Inggeris semasa krisis diplomatik 444 hari susulan Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran ditawan pada 1979.
Beliau duduk berdekatan Presiden Hassan Rouhani dalam satu mesyuarat kabinet baru-baru ini.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi dan seorang Ahli Parlimen, Mahmoud Sadeghi turut disahkan positif COVID-19.

Iran merekodkan jumlah kes kematian COVID-19 tertinggi di luar China.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 26 orang meninggal dunia dan sebanyak 254 kes disahkan positif COVID-19, termasuk 106 kes baharu.

Sekitar 10 peratus daripada kes positif COVID-19 di Iran, pesakitnya meninggal dunia.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan angka kematian di Iran agak tinggi memandangkan ia menunjukkan kes gejala ringan yang tidak dikesan.

Iran juga dikritik kerana didakwa kurang telus dalam menguruskan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Iran bertindak menyekat kemasukan warga China ke negaranya sebagai langkah waspada.

Qom, sebuah bandar yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah, dipercayai menjadi pusat penularan COVID-19 di Iran.

CATEGORIES
TAGS
Share This