COVID-19 : TUDM laksana dua penerbangan bawa peralatan petugas barisan hadapan

COVID-19 : TUDM laksana dua penerbangan bawa peralatan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 10 April — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan dua penerbangan dari Pangkalan Udara Subang, di sini, bagi membawa kelengkapan peralatan petugas barisan hadapan ke Sabah dan Sarawak untuk membendung penularan COVID-19.

Kelengkapan peralatan berkenaan terdiri daripada 2.9 juta penutup hidung dan mulut, 44 unit kotak perlindungan (aerosol box), spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) serta keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan mereka.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua buah pesawat pengangkut yang digunakan untuk membawa kesemua kelengkapan peralatan berkenaan adalah pesawat A400M TUDM.

“Pesawat A400M yang pertama diterbangkan oleh Kapten Mohd Hafiz Mat Yusof, pembantu juruterbang, Kapten Muhd Izwan Noor Azman dan tiga anak kapal, membawa lebih 2.9 juta keping penutup hidung dan mulut daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah berlepas dari pangkalan berkenaan pada kira-kira 8.15 pagi tadi dan tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 11 pagi.

“Penutup hidung dan mulut ini telah diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah selaku sekretariat pengurusan bencana negeri dan daerah. Daripada jumlah penutup hidung dan mulut ini, sebanyak 2,860,000 keping akan disalurkan kepada Sabah manakala 107,500 keping akan disalurkan kepada Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut TUDM.

Menurut kenyataan itu, pesawat A400M kedua telah berlepas pada 10.51 pagi tadi dan diterbangkan oleh Kapten Mohd Fitrie Idham Kamaruddin dibantu pembantu juruterbang, Kapten Mohd Amir Shahrin serta lima anak kapal.

“Pesawat ini membawa 44 unit kotak perlindungan sumbangan Persatuan Bekas Putera untuk Jabatan Kesihatan Sabah dan spesimen klinikal tambahan untuk fasiliti KKM.

Pesawat ini melaksanakan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Kuching bagi penghantaran barang-barang tersebut serta spesimen klinikal tambahan KKM terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, PPE dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah serta Sarawak.

“Peralatan perubatan tersebut adalah daripada KKM, Malaysian Relief Agency dan Nadma. Penglibatan pesawat TUDM ketika ini diperlukan dalam menyalurkan bantuan daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak,” kata kenyataan itu.

Selain itu, TUDM juga akan melaksanakan satu lagi penerbangan dalam masa terdekat bagi membawa 2,718,500 keping penutup hidung dan mulut daripada Nadma untuk Sarawak.

TUDM akan memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan serta agensi-agensi lain dalam usaha menangani penularan wabak bahaya ini demi kesejahteraan rakyat.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )