
COVID-19: UK lanjutkan perintah berkurung tiga minggu lagi
LONDON,. Britain melanjutkan tempoh perintah berkurung membendung penularan pandemik COVID-19, sekurang-kurangnya tiga minggu lagi selepas ia kekal antara negara paling teruk dilanda wabak itu dengan ratusan terkorban setiap hari.
Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, memangku jawatan Perdana Menteri, Boris Johnson yang sedang menjalani proses pemulihan COVID-19, berkata ia terlalu cepat menarik balik langkah penjarakan sosial yang dilancarkan bulan lalu.
“Kerajaan memutuskan bahawa langkah semasa mesti diteruskan sekurang-kurangnya tiga minggu lagi,” katanya pada sidang media harian Downing Street.
Terdahulu, Raab mempengerusikan mesyuarat Kabinet sebelum menandatangani keputusan itu.
Johnson memerintahkan perintah berkurung selama tiga minggu pada 23 Mac lalu untuk menangani penyebaran virus, dengan menutup kedai dan perkhidmatan “tidak penting”, serta melarang perhimpunan lebih daripada dua orang.
Sejak itu, jumlah kes COVID-19 yang disahkan dan kematian meningkat secara mendadak di Britain, dengan lebih daripada 100,000 orang kini dijangkiti dan hampir 14,000 kematian daripada pesakit yang dirawat di hospital.
Menurut angka Kementerian Kesihatan, jumlah kematian setiap hari akibat wabak itu mencecah hampir 1,000 pada hujung minggu dan selepas itu menurun selama beberapa hari dalam minggu ini, bagaimanapun meningkat kepada 861 orang semalam.
Johnson sendiri menghabiskan masa selama seminggu di hospital, dengan tiga hari dalam rawatan intensif, ketika bertarung melawan virus itu.
Beliau kini menjalani proses penyembuhan di Chequers, iaitu kediaman Perdana Menteri.
Kerajaan menegaskan terdapat tanda menunjukkan pelaksanaan perintah berkurung mula mendatangkan kesan dan pandemik kini berada di tahap kemuncak di mana angka jangkitan berkurangan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan bayangan bila negara itu akan melonggarkan perintah berkenaan.
“Kami hanya akan melakukannya apabila bukti menunjukkan bahawa ia selamat untuk melakukannya.
“Ini mungkin membabitkan arahan agak longgar dan perintah yang lebih ketat di daerah kaun… kita akan berpandukan kepada nasihat dan bukti saintifik.
“Sekarang bukanya masa untuk memberikan peluang kedua kepada COVID-19,” katanya. – AFP