COVID-19: UK rekod kes harian tertinggi

LONDON,. Jumlah kes jangkitan COVID-19 di United Kingdom mencatat peningkatan harian tertinggi pada Rabu dengan 26,688 orang lagi diuji positif – kenaikan 25 peratus berbanding Selasa.

Jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 789,229, menurut data kerajaan lapor Agensi Anadolu.

Data itu juga menunjukkan 191 orang lagi meninggal dunia menjadikan keseluruhan 44,158.

Yorkshire Selatan bermula Sabtu akan dikenakan sekatan paling ketat iaitu Tahap Tiga, umum kerajaan minggu lalu.

Wilayah itu mempunyai sekitar 1.4 juta penduduk, merangkumi kota Sheffield, menurut Datuk Bandar Dan Jarvis.

Keputusan itu bermakna 13 peratus kawasan di England atau sekitar 7.3 juta orang akan menjalani kehidupan di bawah Tahap Tiga.

Sistem tiga tahap itu buat masa ini hanya dilaksanakan di England manakala Wales dan Ireland Utara telah memutuskan untuk mengenakan sekatan pergerakan.

Scotland berada di bawah sekatan yang lebih ketat berbanding England, tetapi belum mengenakan sekatan pergerakan.

Menteri I Scotland Nicola Sturgeon berkata akan mengumumkan tahap baharu pencegahan pada Jumaat dan bakal dilaksana pada 2 November.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )