COVID: Pasar Sentral Sibu ditutup dua hari – MPS

COVID: Pasar Sentral Sibu ditutup dua hari – MPS

SIBU,1 Feb– Pasar Sentral Sibu di sini akan ditutup selama dua hari bermula esok selepas salah seorang kakitangan Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan, Majlis Perbandaran Sibu (MPS), yang bertugas di pasar itu disahkan positif COVID-19 hari ini.

Pengerusi MPS, Clarence Ting Ing Horh berkata penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi di pasar itu selain kakitangan dan penjaja terlibat menjalani ujian saringan wabak berkenaan.

“Semua penjaja yang berniaga di Pasar Sentral Sibu juga mesti membuat ujian (saringan COVID-19) dengan kadar segera bagi mengelak penularan pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua kontak rapat dengan kakitangan tersebut dan mereka yang telah mempunyai gelaja COVID-19 diminta menjalani ujian calitan di klinik kesihatan kerajaan terdekat atau di pusat ujian saringan pandu lalu Kementerian Kesihatan di bangunan Pustaka Negeri Sarawak di sini.

Selain itu, MPS juga telah menutup pejabat Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan di Wisma Sanyan di sini dengan serta-merta sehingga dimaklumkan kemudian, namun perkhidmatan kritikal kepada orang awam masih diteruskan.

— BERNAMA /DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )