COVID: Penjaja Pasar Sentral Sibu bimbang pendapatan terjejas operasi ditutup seminggu

COVID: Penjaja Pasar Sentral Sibu bimbang pendapatan terjejas operasi ditutup seminggu

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU,. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bahagian Sibu sejak pertengahan bulan lalu secara langsung telah menjejaskan banyak pihak di kawasan itu termasuk golongan penjaja serta peniaga di Pasar Sentral Sibu di sini.

Sepanjang pelaksanaan PKP, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengarahkan penjaja berniaga mengikut giliran setiap hari bagi mengurangkan kapasiti selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun pada 2 dan 3 Feb lalu, pasar itu diarah tutup susulan terdapat kes positif yang dikesan di kawasan itu dan operasi pasar itu sekali lagi ditutup selama seminggu bermula esok atas sebab sama.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar, Penjaja dan Peniaga MPS Albert Tiang menjelaskan MPS tiada pilihan lain, terpaksa membuat penutupan itu atas faktor keselamatan walaupun menyedari keputusan tersebut boleh menjejaskan pendapatan para penjaja.

Katanya pasar tersebut boleh menempatkan lebih 1,100 ruang niaga secara keseluruhannya dan ia berupaya menjana nilai jualan harian sekitar RM500,000 pada hari-hari biasa sekiranya beroperasi dengan kapasiti penuh.

Namun sejak pelaksanaan PKP, nilai jualan tersebut menjunam kepada RM300,000 dan angka itu terus menurun kepada RM150,000 berikutan langkah penggiliran berniaga dan penutupan sementara pasar itu.

Tinjauan Bernama di pasar itu semalam, mendapati kebanyakan penjaja yang ditemui akur dengan penutupan itu walaupun menyedari hasil pendapatan mereka bakal terjejas dan terpaksa menanggung kerugian akibat barangan jualan rosak.

Ada antara penjaja di situ yang terpaksa melelong jualan mereka kerana kebanyakan barangan jualan mereka seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak tahan lama.

Tidak kurang pula yang mempelbagaikan strategi pemasaran dengan menjual dari rumah dan melalui media sosial, Facebook.

Bagi penjaja buah dabai, Terra Rossa Nuing, 43, berkata beliau tidak risau dengan penutupan pasar itu kerana mempunyai cara sendiri untuk terus menjual produknya.

“Buah dabai boleh tahan sehingga tiga hari, namun kalau kita simpan bersama daun dan bungkus dengan baik ia boleh tahan sampai satu minggu. Kalau pasar tutup saya akan jual dari rumah ke rumah dan promosi di Facebook. Saya boleh hantar ke rumah pelanggan,” katanya.

Bagi Hii Lu Hiong, 70, yang menjual kerang dan udang galah pula berkata beliau telah mendapatkan bekalan yang banyak bagi menampung keperluan masyarakat Cina semasa perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Saya rugi RM20,000 kerana telah beli stok yang banyak untuk Tahun Baharu Cina, namun apa boleh buat,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This