COVID: Ujian calitan wajib tiga kali di kawasan PKPD Sibu Jaya

COVID: Ujian calitan wajib tiga kali di kawasan PKPD Sibu Jaya

SIBU,. Penduduk di kawasan Sibu Jaya, kira-kira 30 km dari pusat bandar di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diwajibkan menjalani ujian calitan sebanyak tiga kali dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata ujian calitan yang sebelum ini hanya dilakukan sebanyak dua kali perlu ditambah kerana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu masih belum berpuas hati dengan hasil ujian yang dijalankan.

“Ujian swab (calitan) diteruskan hari ini dan esok yang keputusannya akan diketahui selepas dua hari ujian dijalankan. Kita mahu 100 peratus penduduk di kawasan ‘lockdown’ (PKPD ini) menjalani ujian swab, manakala di Taman Town Villa hingga Jumaat ini,” katanya.

Menerusi satu sesi penstriman langsung dalam laman Facebooknya, beliau berkata daripada 77 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di Sibu Jaya hari ini, 74 daripadanya dikesan di kawasan perumahan flat Sibu Jaya yang dilaksanakan PKPD.

Sibu Jaya diletakkan di bawah PKPD sejak 12 Feb berikutan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di kawasan itu sejak penghujung Januari lepas dan pelaksanaan perintah itu akan berlangsung hingga 25 Feb ini.

Dr Annuar yang juga penyelaras JPBB Sibu berkata beliau turut menerima aduan yang mengatakan ada golongan pekerja yang tinggal dalam kawasan PKPD atau sedang menjalani rawatan di pusat kuarantin tidak diberi gaji oleh majikan mereka.

“Kita akan kumpulkan nama-nama pekerja yang terlibat dan akan menghantar surat memaklumkan kepada majikan-majikan berkenaan pekerja-pekerja itu tinggal di kawasan PKPD dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )