
Cuma ada ‘penyakit perkauman’ – Sterling
LONDON,. Pemain Manchester City dan England, Raheem Sterling menegaskan perkauman “satu-satunya penyakit yang ada sekarang”.
Pemain 25 tahun itu, yang cukup lantang menentang diskriminasi, mengakui kenyataannya tampak tidak kena ketika dunia berdepan pandemik COVID-19.
“Saya tahu ia kedengaran sedikit keterlaluan tetapi satu-satunya penyakit yang ada sekarang ialah perkauman yang sedang kita perangi,” kata Sterling.
Sterling antara bintang terkini yang menyuarakan sokongan terhadap bantahan isu perkauman di Amerika Syarikat dan seluruh dunia susulan kematian George Floyd di Minneapolis bulan lalu.
“Ini adalah perkara paling penting sekarang kerana ia berlaku tahun demi tahun. Sebagaimana pandemik, kita perlu mencari penyelesaian untuk menghentikannya.
“Inilah yang sedang dilakukan penunjuk perasaan sekarang. Mereka mencari penyelesaian bagi menghentikan ketidakadilan di depan mata. Perjuangan mereka bersebab.
“Selagi ia dilakukan secara aman dan selamat, tidak menyakiti sesiapa serta memecah masuk kedai, mereka perlu meneruskan bantahan ini,” katanya. – AFP