Dakwaan Sabah berjuang sendiri perangi COVID-19 tidak berasas – Abdul Rahim
KOTA KINABALU,. Dakwaan kerajaan Sabah berjuang bersendirian tanpa bantuan daripada kerajaan Persekutuan, dalam memerangi penularan wabak COVID-19 adalah tidak berasas dan keterlaluan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.
Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat turut menyifatkan dakwaan itu sebagai serkap jarang dan mengelirukan rakyat.
“Fakta sebenar yang perlu diketahui ialah kesemua peruntukan dan inisiatif menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion bagi menangani kesan wabak COVID-19 tidak pernah meminggirkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah yang merupakan rakan kongsi Persekutuan Malaysia.
“Walaupun pada hakikatnya pemerintah negeri Sabah iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan komponennya memilih untuk berada dalam barisan pembangkang,” kata Abdul Rahim yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kudat dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri Sabah terpaksa bekerja keras memerangi COVID-19 secara sendirian dan terpaksa mengharapkan bantuan daripada badan kebajikan untuk membeli kelengkapan kesihatan.
Abdul Rahim berkata kerajaan Sabah tidak bersendirian kerana penjawat awam seperti doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan RELA adalah anggota perkhidmatan kerajaan Persekutuan yang menjadi barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19.
“Kerajaan Perikatan Nasional ketika ini tidak berminat untuk bermain politik melainkan fokus untuk membantu rakyat dalam mengharungi situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya, dan menambah, menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat adalah tanggungjawap bersama melangkaui batas politik.
— BERNAMA